Photo by Jean Papillon from Pexels
Tahun 2020 pernah dijadikan titik tolak negara kita berstatus negara maju. Sekarang ni status negara maju tak tau ke mana tapi status “Ageing Population” dah “confirm”! Dijangka kira-kira 2.4 juta daripada 34.3 juta rakyat Malaysia berumur 65 tahun atau lebih. Saya tidak mahu mengulas dari sudut ekonomi tapi mari kita lihat kesanya kepada individu. Terutamanya mereka yang menghampiri usia emas seperti saya.
Gejala berkaitan penuaan termasuk perubahan deria, kognitif dan lemah atau kurang bertenaga. Kesan tersebut mungkin berbeza antara satu sama lain. Matlamat kami adalah untuk memanjangkan tempoh sihat anda untuk kekal produktif sepanjang hayat. Tentunya kita ingin terus menjalani kehidupan sihat dan menikmati anugerah usia bersama yang tersayang.
Mari kita lihat senarai penyakit berkaitan penuaan dan buatlah keputusan terbaik untuk menghindar risiko penuaan pra-matang. Senario ini mungkin berlaku kepada diri sendiri atau mereka yang kita kenali. Sedikit ilmu mampu membantu menghadapi perubahan semulajadi ini. Senarai ini merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh Frontiers Media SA :
#1 Penyakit Kardiovaskular
Penyakit berkaitan jantung ini terus menjadi punca utama kematian dikalangan orang dewasa. Biarpun mampu menyerang sesiapa sahaja, namun risiko meningkat seiring usia dan gaya hidup. Kematian akibat serangan jantung adalah 2.5 kali lebih tinggi di kalangan wanita berbanding kanser. Diantara jenis penyakit kardiovaskular termasuk penyakit arteri koroner, trachycardia, penyakit otot jantung, kegagalan jantung dan lain-lain. Terdapat beberapa langkah bagi mengurangkan risiko penyakit ini seperti tidak merokok, aktiviti fizikal sekurang-kurangnya 30 minit sehari, pemakanan sihat, jaga berat badan dan sebagainya.
#2 Hipertensi
Hipertensi bermaksud keadaan apabila tahap tekanan darah pada dinding arteri melebihi 140/90 mm Hg dengan mengambil kira beberapa kali bacaan. Hipertensi adalah penyumbang utama kepada pembentukan plak dalam lapisan arteri besar dan sederhana. Ia juga adalah penyakit kronik yang paling banyak dihidapi kalangan dewasa. Lebih dikenali dengan darah tinggi, ia berkait rapat dengan genetik. Cara pencegahan penyakit ini lebih kurang sama dengan pencegahan sakit jantung.
#3 Kencing Manis
Kencing manis atau diabetes melitus berlaku akibat ganguan fungsi hormon insulin. Penyakit ini menyebabkan glukosa dalam darah tidak dapat dioksidakan bagi menghasilkan tenaga. Antara simtom diabetes melitus adalah letih, dahaga, lapar, kerap kencing dan penurunan berat badan. Ia kerap disebut sebagai penyakit 3 serangkai melibatkan penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis. Jika tidak dirawat penyakit ini berpotensi mengakibatkan pelbagai komplikasi. Gejala, seperti hiperglisemia, glukosuria, poliuria, dahaga, lapar dan lemah tubuh.
#4 Kanser
Satu perkataan yang amat mengerunkan! Kanser berada di tempat ke 3 penyebab utama kematian di Malaysia. Risiko menghadapi kanser mula menurun bila mencecah usia 85 tahun. Aduhai, sempat ke sampai umur tu? Jenis kanser yang paling lazim dikalangan wanita adalah payudara dan serviks. Kanser paru-paru dan usus pula merupakan pembunuh utama bagi kaum Adam. Pemeriksaan berkala adalah cara terbaik bagi mengesan penyakit ini diperingkat awal.
#5 Osteoporosis
Osteoporosis adalah kelampungan tulang yang biasanya dialami oleh warga tua. Penyakit yang menyebabkan tulang menjadi poros dan rapuh kerana kehilangan mineral tulang. Kondisi ini amat berbahaya dikalangan orang tua terutamanya kerana meraka kerap jatuh. Padahnya tulang mereka mudah patah padahal ia tidak begitu memudaratkan orang muda. Vitamin larut lemak yang terdapat di dalam minyak hati ikan, mentega, dan kuning telur membantu pengkasiuman tulang. Bentuk aktif vitamin ini adalah D2 dan D3.
Begitulah senarai 5 penyakit utama yang dikaitkan dengan penuaan. Semua penyakit yang tersenarai mempunyai kaitan dengan pemendekan telomere. Bila usia seseorang meningkat, telomere mereka akan semakin haus. Walau bagaimana pun kita seharusnya mengelak daripada penuaan pra-matang. Ini berlaku disebabkan pengetahuan ‘telomere maintainance’ yang cetek. Saya akan bincang dengan lebiih mendalam tentang penjagaan telomere. Semoga ia memberi sedikit pencerahan dan seterusnya dimanfaatkan untuk kegunaan sendiri dan yang tersayang.